‘Saya kata pump fuel ten ($10), bukan pump full tank ‘ – Driver BMW enggan bayar duit petrol RM370, salahkan kecuaian pekerja Caltex


Jika seseorang individu itu mampu memiliki kereta mewah, sudah tentu dia juga mempunyai wang yang banyak untuk dibelanjakan pada keretanya. Namun dalam kejadian baru-baru ini yang viral di media sosial, seorang pemandu kereta BMW, enggan membayar petrol yang telah dipam pada keretanya, lapor World of Buzz.
Dalam catatan Facebook yang dimuat naik oleh wanita warga Singapura, Kelly Yeo, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam dua petang di Caltex Tampines Avenue, pada 14 April lalu. 

Ketika kejadian, Kelly terdengar perbalahan di antara pemandu BMW terbabit dengan kakitangan stesen tersebut. 

Apabila juruwang meminta pemandu itu membayar S$135 (RM400) untuk minyak diisi penuh pada kereta BMW 5 Series, pemandu terbabit mendakwa dia hanya meminta kakitangan stesen itu mengisi S$10 (RM29), “Pump fuel ten”. 

Bagaimanapun, kakitangan dianggarkan berusia 60 tahun yang melayani pemandu itu memaklumkan kepada juruwang berkenaan bahawa lelaki itu berkata “Pump full tank”. 

“Dia jelaskan apa yang didengarinya pada masa itu, isi minyak penuh tetapi lelaki itu cepat-cepat menafikannya. 

“Apa yang berlaku seterusnya membuatkan saya terkejut. Kakitangan itu enggan memperbesarkan kes itu dan akhirnya mengalah dan memaklumkan kepada juruwang untuk menerima saja bayaran S$10 (RM29) dari lelaki itu dan dia akan menanggung bakinya sebanyak RM370.

“Akhirnya, lelaki itu beredar dan hanya membayar S$10 sahaja untuk isian minyak penuh pada kenderaan mewahnya itu,” kata Kelly. 

Kelly juga memuji tindakan profesional dua kakitangan berkenaan yang bersabar melayani karenah lelaki terbabit meskipun terpaksa menanggung kerugian yang banyak. 

Katanya lagi, tiada salahnya sekiranya lelaki itu membayar saja amaun yang telah dikenakan kerana kenderaannya itu juga tetap akan diisi dengan petrol pada hari-hari mendatang. 

Sementara itu, netizen terkejut dengan sikap pemandu BMW terbabit yang sanggup memperdayakan kakitangan berkenaan yang berpendapatan S$1,600 (lebih kurang RM4,700) sebulan untuk membayar petrolnya. 

Caltex Singapura dalam satu kenyataannya menjelaskan, siasatan mendapati kakitangan terbabit tidak menanggung sebarang kerugian. Laman Mothership pula melaporkan ada seseorang individu telah datang untuk membayar baki tersebut, namun tidak didedahkan identitinya. 

Walaupun begitu, tampil seorang netizen mendakwa lelaki itu kerap melakukan perbuatan itu dengan modus operandi yang sama semata-mata mahu mendapatkan petrol percuma. 

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

‘Cakap takde duit, tapi boleh pula pergi bercuti di Langkawi, Phuket’ – 2 tahun tak bayar hutang RM2.5K dan bila dituntut lelaki ini balas mesej dengan biadab


Adab berhutang, bayarlah bila sudah berkemampuan walaupun sedikit demi sedikit. Namun apa yang berlaku pada wanita ini, tidak seperti yang diharapkan apabila si lelaki mengambil keputusan untuk menangguhkan bayaran hutangnya dengan pelbagai alasan. 

“Lelaki ini berhutang dengan saya RM2,500. Tetapi bila saya minta dia bayar RM2,000 sahaja, sehingga sekarang dia tak buat bayaran balik. Dia pinjam duit itu untuk modal perniagaan Roti John dan sewa kedai. Tetapi sudah dua tahun berlalu, dia gagal membayar kembali wang itu kepada saya,” demikian kata Haira di Twitternya. 

Pada awalnya, Haira cuba meminta Raffiudin membayarnya sebanyak RM500 pada Khamis ini kerana Haira memerlukan wang untuk menyertai program universitinya di Batam, minggu depan.

“I’m going to Batam for university’s visit next week. I nak pakai RM500. Bank in before Khamis. Thank you,” mesej Haira kepada Raffiudin di aplikasi WhatsApp. 

Malangnya, lelaki itu tidak mengendahkan dan memberi alasan dia tidak mempunyai duit. Meskipun Haira meminta sebanyak RM200, dia tetap memberi alasan yang sama. 

Berang dengan sikap tidak bertanggungjawab lelaki itu, Haira mempersoalkan bagaimana Raffiudin yang tiada duit tetapi boleh berjalan ke sana sini seperti orang berduit tetapi tiada duit nak membayar hutangnya. 

“Orang payung, apa ada hal?” kata Raffiudin. 

“Kau boleh je kan minta dari mak kau? Cakap kau nak bayar sewa kedai,” balas Haira. 

“Apa hal nak minta duit dari mak I? I ada duit, I bagilah. You siapa nak suruh I minta duit dari mak I?” Raffiudin mempersoalkan tindakan Haira. 

“I yang bagi hutang pada you. You hari itu boleh saja kan sebenarnya nak minta dari mak you pada mulanya. I yang bagi hutang, I ada hak nak menuntut hutang I. You tu yang sepatutnya malu dengan I dan cari I untuk bayar hutang,” balas Haira lagi. 

“Minta la you selagi you mampu. Haha,” tulis Raffiudin memerli Haira. 

Haira kemudian menegaskan dia akan datang ke rumah lelaki itu di Melaka untuk menuntut hutangnya. Namun lelaki itu tidak sedikit pun gentar dan menyindir tindakan Haira itu kebudak-budakkan. 

“Jadi saya pergi ke rumah dia di Melaka dan berjumpa dengan ibu bapa dia. My god, mak dia memang sejenis back up anak. Bapak dia jenis garang macam nak tolong tapi senyap sampai sekarang. 

“Dia bijak, masa nak pinjam duit saya, dia call datang suruh jumpa. Dah jumpa baru cakap. Selepas tu terus minta cash, tak nak transfer. Saya mengaku saya kurang cerdik pada masa itu. Perempuan kalau sayang, memang buta dan bodoh. 

“Yang saya bengang, dia cakap tak ada duit tetapi boleh pergi Langkawi, Phuket semua bercuti dan sambut tahun baru,” tulisnya. 

Ada beberapa netizen cuba menghubungi nombor telefon lelaki itu, namun mendakwa mereka tersalah nombor. Tetapi Haira mengesahkan suara yang menjawab panggilan itu sememangnya Raffiudin. 

Susulan viral itu juga, Raffiudin telah menyahaktifkan akaun Instagramnya. 

Difahamkan Haira telah berjaya mendapatkan segala maklumat tempat kerja dan nombor telefon pejabat lelaki berkenaan dan akan mengambil tindakan selanjutnya. 

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

(Video) ‘Jemaah hanya perlu bayar RM1,500 je untuk pergi umrah’ – Ejen kantoi buat tawaran umrah palsu


Beberapa kes mengenai penipuan pakej umrah telah dilaporkan sebelum ini. Walaupun kes ini sudah tersebar, namun orang ramai masih menggunakan khidmat ejen ini. Berbekalkan modus operandi tawaran pakej umrah rendah, pihak yang tidak bertanggungjawab ini seolah-olah tidak serik menipu orang ramai dan menggunakan agama sebagai loncatan untuk mengaut keuntungan.

Azizul Asri Ahmad Tajuddin membongkarkan kes penipuan yang melibatkan pakej umrah yang terendah. Beliau sendiri menghadiri taklimat yang telah diadakan. Beliau terkejut apabila dimaklumkan jemaah hanya perlu membayar sebanyak RM 1,500 sahaja manakala selebihnya ditanggung oleh pihak tertentu.

PADA jam 6.30 petang, saya mendapat satu info dari WhatsApp group bahawa akan ada satu taklimat Umrah Pakej RM6,000 yang dijadualkan berangkat pada bulan November 2018. Jemaah hanya perlu bayar ‘RM1,500’ sahaja. Baki (RM4,500) akan ditaja oleh satu kumpulan Usahawan Jutawan atas nama Infaq Niaga dengan kerjasama (kononnya) Housecoff Travel. Taklimat pada jam 8 malam di Tadika Nur Raihan sebelah Masjid Kuarters KLIA.

Pada jam 8.45 malam, saya tiba di lokasi. Perjumpaan telah berlangsung hampir 30 minit. Hampir 20 orang hadir. Taklimat dikendalikan oleh wanita berbaju dan bertudung merah. Kami diberitahu bahawa banyak group telah berlepas sebelum ini. Siapa yang hadir diminta menulis nama dan pasangan serta anak-anak. Kuota hanya 300 orang untuk bayaran hanya RM1,500. Baki RM4,500 ditaja. 

Apabila ditanya siapa yang menaja, jawapannya Infaq Niaga. Tanya lagi, siapa mereka? Dijawab mereka ini orang kaya di belakang tabir yang tidak mahu dihebohkan. Ini jutawan balak dan kuari. Tanya lagi, dah berapa lama pakej dengan Housecoff Travel ini? Jawapannya, semenjak tahun 2002. 

Mereka tidak tahu dalam majlis itu ada anak owner Housecoff yang menyamar sebagai pelanggan. Para jemaah lain dilihat berminat. Siapa yang tidak tertawan dengan umrah hanya bayar RM1,500. 

Jemaah diminta membayar RM500 sebagai deposit segera. Ada yang meminta untuk tangguh sampai petang esok. Lalu ‘dia’ menelefon seorang ‘Datuk’ sambil bercakap untuk menangguhkan deposit sampai esok supaya jemaah yang berminat dapat bawa lagi orang lain bersama. Sebab pakej terhad untuk 300 orang saja.

Ada jemaah yang sudah bayar RM500, lalu resit dikeluarkan. 2-3 jemaah pula dilihat bersungguh bertanya soalan dan berkempen (akhirnya diketahui bahawa mereka ini satu pasukan)

AGENDA TERBONGKAR

Akhirnya anak owner Housecoff membuka mulut, tercengang mencari jawapan. Lalu dijawab bukan kerjasama Housecoff Travel. Nama  Enigma dan Ukhuwah Firdausi pula dipetik. Setelah di ‘brainwash’ duit deposit yang jemaah bayar pada malam itu dipulangkan kembali.

Jawapannya satu saja. Niat mereka baik, mahu bantu jemaah pergi umrah dan diulang-ulang jawapan itu.

Saya melihat riak wajah jemaah yang hadir tercengang, terpinga dan tidak tahu yang mana betul. Berita jemaah terkandas dan umrah murah yang menipu di dada akhbar saban tahun gagal memahamkan mereka. 

Ada yang dah daftar untuk tujuh orang. Ada yang daftar dengan mak ayah. Saya cuba jelaskan satu persatu. Pergi umrah bukan macam kita beli tiket balik kampung atau beli baju di supermarket. Ia melibatkan duit, visa, kelulusan kerajaan untuk mengutip dana kerana melibatkan wang yang banyak. Apatah lagi sudah ramai yang terkena.

Ada pula jemaah yang mengaku dapat pergi sebelum ini cuma bayar RM3,800 saja. Katanya tak tipulah, memang pakej ini betul- betul ada.

Saya jelaskan. “Makcik, yang dapat pergi dengan RM3,800 tu bukan kerana ditaja, tetapi diambil duit jemaah yang daftar lewat untuk makcik pergi. Ini adalah ‘money game’. Duit orang bawah hantar orang atas.”


PERSIAPKAN DIRI 

Jemaah perlu dididik dengan betul. Tidaklah berdosa jika kita mati dan tidak sempat ke Makkah jika tidak tidak mampu. Asal ada usaha simpan duit sedikit demi sedikit. Tetapi amatlah berdosa jika kita tahu penipu sedang menipu di belakang kelambu kaabah lantas kita cuba sekali bersembunyi bersama. RM1,500 bukan sahaja tidak boleh pergi Makkah, nak beli tiket flight pun belum lepas.

Ini baru satu kes. Mereka bergerak underground melalui masjid dan surau serta group-group WhatsApp. Undang-undang sedia ada agak lemah. Yang ada pun setelah ditipu, terkandas, buat report polis, masuk muka depan Metro dan Utusan, barulah tindakan diambil. Itu pun duit belum tentu dapat, pencuri belum pasti ditangkap. 

Tahun berikutnya, mereka mulakan modus operandi baru. Jemaah baru dan duit baru.

Tuan- tuan yang mulia, YB bagi kerusi kat masjid atau sekolah pun kena tulis nama. Bagi duit seribu, dua ribu  pun perlu buat cek besar-besar masuk Sinar. Ini lagi ratus-ratus ribu untuk sponsor takkan tak nak mileage? Mereka ini muncul memanipulasi keinginan jemaah yang kurang kemampuan tetapi membuak keinginan untuk ke Makkah!

Maafkan saya sebab mention nama organisasi dan wajah mereka di dalam posting ini. Kerana maslahat jemaah yang ditipu dan bakal ditipu lebih utama. Amat jelik mereka yang menipu umrah. Lantas bersembunyi di belakang kiswah!  

Yang benar,

Suffah Travel & Tours Sdn Bhd (KPL/LN6898|LKU144)

CSQ Training Centre

‘Ikan bilis yang berharga RM2.24, tiba-tiba menjadi RM348’ – Pelanggan terkejut kena bayar barang RM586.75


Sebagai pengguna, anda perlulah sentiasa memeriksa resit bayaran yang diberi agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Baru-baru ini seorang wanita berkongsi pengalamannya yang hampir mengalami kerugian beratus ringgit hanya disebabkan kesilapan pencetakan harga bahan mentah yang ditimbang. 

Mujur tabiatnya yang gemar memeriksa resit bayaran, menyelamatkan dirinya dari mengalami kerugian besar itu. Semoga menjadi pengajaran dan peringatan buat kita semua. 

CERITA hari ini, nasib menyebelahi. 

Habis saja exam, terus pergi ke market untuk shopping barang-barang dapur. Barang boleh dikatakan agak banyak dan kira-kira memang akan hbais dalam RM200+. Dan bila sampai di kaunter, juruwang kata total harga semua barang yang diambil adalah sebanyak RM586.75. Muka dengan penuh redha, hulur RM600 dengan berbaki RM13.25.

Naik kereta, terus belek resit. Kebiasaannya memang setiap kali nak beli barang, saya akan catat dalam kertas atau buku nota supaya barang yang dibeli tak tercicir. Pelik sebab dari mana datangnya barang yang boleh cecah sampai RM600 itu? 

Bila semak senarai barangan yang dibeli dalam resit, baru perasan ikan bilis yang saya tandakan tak ada. Yang ada, ‘Silverside CTN’ yang saya sendiri pun tidak tahu apa maknanya itu. Buka semula bonet belakang kereta dan usaha sedaya upaya mencari batang hidung ikan bilis dan lihatlah apa yang saya dapat. (Rujuk gambar ketiga). 

Ikan bilis yang berharga RM2.24, tiba-tiba menjadi RM348. Turun dari kereta terus pergi semula ke kaunter dan beritahu bahawa mereka sudah tersilap kira dan alhamdulillah dapat semula duit saya. 

Sekadar pesanan untuk kita semua. Rajin-rajinkanlah periksa semula resit bayaran yang kita dapat itu. Periksa jumlah keseluruhan harga barang yang dibeli itu betul atau tidak, sama atau tidak dengan harga barang yang kita beli. Semoga ini adalah kejadian yang terakhir buat diri saya.

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

Berang majikan lambat bayar gaji, buruh bakar kereta rakan sekerja


Berang selepas dimaklumkan majikan lambat membayar gaji, seorang buruh binaan mengamuk dan memukul anak majikan dan isteri rakan sekerjanya, lapor Utusan Borneo.

Dalam kejadian jam 3.50 petang 30 Disember lalu, suspek berusia lingkungan 30-an bertindak membakar kereta rakan sekerjanya di tapak pembinaan bangunan kedai di Jalan Aman, Sibu. 

Difahamkan, ketika kejadian itu pemilik kereta Perodua Kancil dan isteri serta rakan-rakan yang lain sedang menunggu menerima gaji mereka sebelum didatangi suspek yang mengamuk apabila dimaklumkan anak majikan yang juga pengurus tapak pembinaan itu bahawa gaji mereka lambat dibayar. 

Para pekerja yang menyaksikan kejadian itu cuba menenangkan suspek, malangnya gagal berbuat demikian. Suspek yang dipercayai mabuk kemudian memukul isteri rakannya dengan batang penyapu di tangan kanannya dan membaling batu bata ke arah perutnya. 

Turut menjadi mangsa, anak majikan dipukul dengan batang besi di kepala dan tangan kiri oleh suspek, sebelum membakar kereta rakannya menyebabkan mangsa mengalami kerugian anggaran RM12,000. 

Suspek kemudian melarikan diri, manakala kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius. 

Balai Bomba dan Penyelamat Sibu yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.16 petang kemudian menghantar tujuh anggota dan sebuah jentera FRT ke lokasi kejadian untuk memadamkan kereta yang dibakar suspek. 

Ketua Polis Daerah ACP Zailanni Amit mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang giat mengesan suspek. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324/435 Kanun Keseksaan kerana disyaki sengaja mendatangkan kecederaan dengan batang penyapu serta khianat api dengan membakar kereta,” katanya. 

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih